MAKLUMAT KEJIRANAN

OBJEKTIF SEMANGAT KEJIRANAN


  • Dapat membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara.
  • Pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan di dalam diri setiap masyarakat. 
  • Dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.
  • Kejiranan amat penting didalam pembentukkan tamadun Islam selepas pembentukan sahsiah individu dan keluarga




Faktor- faktor semangat kejiranan semakin luntur

 Umum mengetahui bahawa fakta perdana yang menyebabkan senario ini ialah perubahan gaya hidup masyarakat kini. Masyarakat kini terlalu sibuk mencari rezeki untuk menyara keluarga mereka masing-masing. Kos sara hidup yang amat tinggi serta tekanan yang dihadapi telah memaksa warga kota untuk bekerja sepanjang hari. Akibatnya, apabila mereka pulang ke rumah pada waktu malam, mereka telah keletihan dan tidak mempunyai masa yang berlebihan untuk bergaul dengan jiran. Lama-kelamaan, masyarakat bandar akan semakin bersifat individualistik kerana telah biasa hidup secara bersendirian tanpa menjaga tepi kain orang lain. Hal ini demikian kerana mereka tidak mahu membebankan diri dengan mengambil tahu perkara jiran. Mereka tidak mahu bergantung kepada orang lain. Hal ini bagai enau dalam belukar, melupaskan pucuk masing-masing. Namun begitu, perkara ini tidak sama dengan kehidupan masyarakat pada dahulu kala. Mereka lebih mengamalkan semangat "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" dengan jiran-jiran kerana corak kehidupan yang bersantai dan kos hidup yang lebih rendah. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa jadual seharian masyarakat yang padat dengan kerja masing-masing menyumbang kepada salah satu faktor semangat kejiranan semakin pudar. 

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa senario yang berlaku juga disebabkan oleh kecanggihan teknologi pada era globalisasi ini. Konsep "Dunia Tanpa Sempadan" telah jelas terbukti dengan adanya rangkaian Internet di hampir seluruh dunia. Dengan ini, masyarakat hanya perlu menaip kata kunci tertentu pada kotak pencarian untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan pantas dan mudah. Malah, masyarakat mampu mendapatkan pelbagai jenis hiburan dengan bermain permainan video, mendengar muzik atau menonton video melalui komputer, telefon bimbit atau televisyen. Hal ini menyebabkan masyarakat kurang keluar dari rumah dan kurang berkomunikasi dengan orang walaupun hanya berada di sebelah. Mereka begitu asyik menggunakan peralatan ini dan tidak mempedulikan jiran mereka. Mereka diibaratkan kera sumbang dan akan kekurangan kemahiran untuk berkomunikasi dengan ramah-tamah. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa penggunaan alatan teknologi pada masa kini turut mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan. 

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa punca lain yang agak jelas ialah sifat perkauman yang tebal dalam masyarakat. Sesetengah masyarakat tidak suka mempunyai jiran yang berbeza kaum daripada mereka dan hal ini menyebabkan jiran-jiran tidak bergaul antara satu sama lain. Mereka mempunyai tanggapan serong terhadap cara hidup yang berbeza kaum lain. Situasi ini menyebabkan masyarakat tidak mempunyai rasa hormat terhadap jiran dan menjejaskan konsep kejiranan. Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak untuk bergaul dengan jiran yang berlainan kaum. Mereka juga mungkin menghadapi masalah dengan jiran dan enggan bertoleransi dan memaafkan antara satu sama lain. Malahan, ibu bapa tidak menerapkan kepentingan mengamalkan kepentingan semangat kejiranan dalam kehidupan seharian. Mereka kurang mendidik anak-anak tentang jiran yang akan menghulurkan bantuan kepada kita apabila menghadapi masalah. Justeru, anak-anak juga semakin mengabaikan jiran mereka. Oleh hal yang demikian, ternyatalah bahawa sifat perkauman yang menebal juga merupakan punca kurangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. 

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan sebab seterusnya, iaitu masyarakat yang tidak menunjukkan kerjasama dalam aktiviti kemasyarakatan. Sesungguhnya, pelbagai aktiviti sering dijalankan dalam sesebuah kawasan perumahan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota masyarakat seperti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, mengadakan majlis atau kenduri, Program rumah Terbuka dan Hari Keluarga. Rukun Tetangga yang ditubuhkan untuk menjaga keselamatan sesuatu perumahan juga kurang disertai oleh penduduk sesebuah kawasan perumahan kerana sikap malas mereka. Amalan gotong-royong dalam mengadakan sesuatu majlis semakin ditinggalkan, sebaliknya mereka menggunakan khidmat katering dan menempah restoran dan hotel untuk sesuatu majlis. Hal ini menutup peluang untuk masyarakat menyumbang tenaga dan sekali gus kurangnya peluang untuk masyarakat bertemu dan menjalinkan kemesraan. Masyarakat juga mengambil ringan terhadap aktiviti-aktiviti tang diadakan. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa masyarakat yang kurang mengambil bahagian terhadap aktiviti kemasyarakatan menyebabkan kurangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. 

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah pembangunan pesat dalam sesebuah bandar juga mengakibatkan kelunturan semangat kejiranan. Pada hakikatnya, banyak pusat beli-belah, pusat hiburan dan taman-taman permainan yang didirikan dalam sesebuah bandar bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini telah menarik minat masyarakat untuk berkunjung ke tempat-tempat ini dan menghabiskan masa yang banyak di sana. Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila wujudnya jurang status sosioekonomi masyarakat. Masyarakat yang berstatus tinggi atau bergaji tinggi akan memandang rendah jiran mereka yang bergaji kecil itu. Persepsi yang  mengutamakan status diri menyebabkan kurangnya interaksi sesama jiran. Golongan masyarakat yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi pula menimbulkan perasaan tidak selesa masyarakat. Keadaan ini menyebabkan hubungan mereka semakin renggang yang menyebabkan golongan yang bergaji kecil berasa rendah diri. Justeru, sememangnya diakui bahawa pembangunan pesat yang terdapat di sesebuah bandar juga menyebabkan semangat kejiranan semakin pudar.




KESAN-KESAN TIDAK MENGAMALKAN SEMANGAT KEJIRANAN


 Semangat kejiranan yang semakin pupus merupakan satu perkara yang amat membimbangkan dewasa ini. Mungkin ada yang terlepas pandang terhadap kesan-kesan yang akan berlaku jika semangat ini dibiarkan terus lenyap dalam jiwa setiap ahli masyarakat. Terdapat beberapa kesan yang akan terjadi jika seluruh masyarakat tidak mengamalkan semangat kejiranan. Disini kita dapat bahagikan kepada tiga kesan iaitu kesan ke atas individu, masyarakat dan negara.

    Semangat kejiranan yang semakin hilang akan melahirkan individu yang mementingkan diri sendiri atau dengan kata lain individulisme. Ini akan memburukkan lagi keadaan apabila berlaku kecemasan dan memerlukan pertolongan orang lain. Contohnya salah seorang ahli keluarga sakit dan memerlukan kenderaan dengan segera. Tanpa jiran, siapa lagi yang kita mahu meminta pertolongan dengan keadaan yang segera. Disini jelaslah bahawa semangat kejiranan amat penting untuk terus dipupuk dan diamalkan.


   Selain itu, ia juga memberi impak yang secara langsung mahupun tidak langsung kepada masyarakat dimana akan wujudnya pelbagai gejala sosial. Dewasa ini, ramai remaja menghabiskan usia remaja mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan yang merugikan diri mereka sendiri. Antara perkara atau aktiviti yang tidak berfaedah itu ialah melepak, merempit, vandalism pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan lain-lain lagi. 


  Hal ini kerana tiada pihak yang akan memantau kawasan perumahan atau kawasan-kawasan tertentu kerana masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Selian itu mereka juga menggunakkan istilah tidak menjaga tepi kain orang lain membuatkan mereka tidak menghiraukan masalah gejala sosial yang kini kian merunsing. Selain itu, masalah kecurian juga akan terus berlaku. Antara punca ialah tidak pihak yang akan bertugas sebagai pemantau seperti yang dilakukan didalam progem rukun tetangga. 


  Kesan yang terakhir ialah kepada negara. Salah satu kesan terhadap negara ialah negara tidak akan aman dan harmoni kerana masyarakat lebih mementinghkn diri sendiri. Keharmonian sesebuah negara akan membantu sesebuah negara itu meningkat maju. Keharmonia negara amat penting untuk mengekalkan keamanan dan kewujudan sebuah negara bangsa yang berjaya. Ia juga akan menarik minat pelabur asing dan pelancong untuk datang melawat serta melancong ke negara ini kerana keamanan yang Malaysia perolehi.
 Masalah sosial juga akan menyebabkan masa depan negara menjadi kabur.


 Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.




Usaha-usaha memupuk semangat kejiranan


  Usaha memupuk semangat kejiranan hendaklah bermula pada peringkat akar umbi, iaitu bermula daripada didikan dalam kalangan anak-anak bak kata peribahasa melentur buluh biarlah waktu rebung. Sudah pasti, dalam pendekatan ini, ibu mempunyai autoriti dalam membentuk peribadi anak-anak. Ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan kerana mereka merupakan individu yang paling rapat dengan anak-anak. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap jiran. Ibu bapa hendaklah mengambil tahu tentang masalah yang dihadapi oleh jiran. Misalnya, ketika jiran sakit tenat, ibu bapa hendaklah menghulurkan bantuan seperti bantuan kewangan, menghantar ke hospital dan memberikan kata-kata semangat. Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka.


 Selain itu, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat untuk meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak menziarahi jiran tetangga agar anak-anak tahu adab hidup berjiran. Anak-anak dapat melihat tatacara berkomunikasi di samping mengetahui latar belakang jiran. Sebagai contoh, ibu bapa membawa anak-anak menziarahi jiran yang sakit. Amalan ini bukan sahaja dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat malahan dapat mengikis sikap yang diibaratkan seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Melalui pendekatan ini, anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.



  Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Kesannya, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masyarakat di negara ini. Kehadiran ibu bapa bersama-sama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat mendedahkan anak-anak dengan lebih dekat dengan adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.

 Selain daripada ibu bapa, masyarakat, badan kerajaan dan badan bukan kerajaan, pihak lain yang boleh memainkan peranan ialah media massa dan media elektronik. Media ini merupakan wahana dominan yang mampu mempengaruhi minda masyarakat dengan cepat dan berkesan. Media juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mengorak langkah memupuk kembali semangat kejiranan yang kian pudar dalam kalangan masyarakat. Pihak media cetak, media elektronik dan laman sosial dapat menyebarkan maklumat mengenai semangat kejiranan. Hal ini demikian kerana maklumat dapat disampaikan dengan lebih cepat. Kesannya, masyarakat akan lebih faham dan mendapat pelbagai maklumat yang mendalam mengenai semangat kejiranan. Sebagai contohnya, alat komunikasi seperti televisyen dan radio dapat menyalurkan mesej penting berkaitan semangat kejiranan, iaitu menghebahkan program yang boleh memupuk semangat kejiranan seperti ceramah agama dan ceramah motivasi. Akhbar dan majalah pula boleh memuatkan rencana tentang aktiviti yang dapat memupuk semangat kejiranan. Melalui media massa dan media cetak, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan lebih efektif dan konsisten. Benar, berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda.


 Seterusnya, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Rela, Rukun Tetangga, Persatuan Belia dan Persatuan Penduduk juga memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kehidupan seharian. NGO berperanan sebagai tunjang utama untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong perdana, rumah terbuka, dan sukan rakyat. Sudah pasti aktiviti berunsurkan kemasyarakatan ini dapat mewujudkan maslahat serampang dua mata secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan silaturahim dan melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas. Rumah terbuka anjuran NGO seperti Perayaan Tahun Baharu Cina, Perayaan Deepavali, dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dihadiri daripada pelbagai kaum dan etnik membenarkan masyarakat meluangkan masa emas untuk berkenalan setelah masing-masing sibuk dengan tugasan hakiki. Dewasa ini, dengan wujudnya badan NGO, mereka secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan tempat tinggal atau taman perumahan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini serta memudaratkan penduduk tempatan seperti membunuh, merogol, dan merompak. Hal ini dapat kita lihat persis kata peribahasa iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan sikap bentuk dalam hidup bermasyarakat. Tegasnya, NGO haruslah aktif tanpa mengira masa dan waktu dan tidak mengamalkan sikap melepaskan batok di tangga.

 Tidak dapat dinafikan, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur hendaklah dibentuk supaya dapat membincangkan hal ehwal masyarakat setempat. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Bak kata peribahasa Melayu, ibarat aur dengan tebing, masyarakat yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.



FAEDAH-FAEDAH MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN


  Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Nabi Muhamad s.a.w pernah bersabda bahawa jiran mempunyai tiga hak berbeza iaitu jiran seagama, jiran sesama insan dan jiran yang juga keluarga kita. Namun dek kerana kesibukan tugas dan tuntutan kerjaya, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh kerajaan dan pelbagai pihak supaya amalan kejiranan menjadi darah daging masyarakat. Persoalannya, mengapakah semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat? 

  Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk sikap saling membantu dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Sikap ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, hari keluarga. majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti membolehkan semua jiran bertemu dan saling berkenalan. Sebagai contoh, dalam majlis keramalan seperti majlis perkahwinan, jiran akan membantu apa yang patut sehingga majlis itu selesai. Kadang kala jiran juga memberikan sumbangan kewangan untuk menjayakan majlis yang diadakan. Secara tidak langsung aktiviti ini merapatkan hubungan antara jiran tetangga. Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk sikap kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.


   Selain itu, semangat kejiranan juga penting kerana dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang bangsa di negara kita. Hal ini kerana semangat kejiranan dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 yang menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain bak kata perbahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Dengan ini perselisihan pendapat boleh dielakkan dan pelbagai program pembangunan dapat dilaksanakan demi membawa kemajuan kepada rakyat.Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.           


  Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital demi melahirkan sikap hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sikap ini amat signifikan untuk membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan. 


  Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Masyarakat diharap tidak mengamalkan gaya hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Seorang aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye pernah berkata bahawa langkah paling bijaksana untuk memastikan kewujudan masyarakat madani adalah dengan mengamalkan semangat hidup berjiran. Masyarakat diseru supaya mengamalkan semangat kejiranan agar kebaikan yang akan dijelmakan melalui semangat tersebut dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat. 

Kepentingan Semangat  Kejiranan



 Malaysia terkenal dengan kaum rakyatnya yang penuh diversiti, bangsa, pakaian tradisi dan makanannya. Namun, semangat kejiranan kurang dipraktikkan di negara kita, khususnya di bandar. Hal ini kerana rakyat masing-masing mempunyai pekerjaan dan sentiasa sibuk sehingga tiada masa menghiraukan jiran sebelah mereka. Hal ini menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur dipraktikkan dan hubungan yang longgar sesama jiran. Walakin pihak kerajaan telah menggiatkan pelbagai usaha untuk memupuk semangat ini dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, namun inisiatif ini tidak kelihatan memberi impak positif yang ketara. Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Karim, beliau mengatakan rasa kecewanya tentang semangat kejiranan di Malaysia. Masyarakat sepatutnya sedar betapa pentingnya semangat kejiranan di negara kita. 

  Semangat kejiranan dapat membenarkan masyarakat untuk memupuk semangat bekerjasama. Dengan ini, masyarakat dapat berganding bahu dan sama-sama mengendalikan sesuatu majlis seperti kenduri, perkahwinan dan kenduri kesyukuran. Tugas dapat dibahagikan kepada mereka dan akan menjimatkan masa, kos dan tenaga secara tidak langsung. Bertitik tolak daripada itu, mereka akan berbual-bual dan mengenali jiran mereka masing-masing. Masyarakat juga dapat menghulurkan bantuan kepada jiran yang memerlukan dan perkara ini dapat dilakukan secara gotong-royong. Selain itu, masyarakat akan menggembleng kudrat sekiranya berlakunya kecemasan dan bersatu padu supaya mudah menangani masalah yang dihadapi. Oleh itu, dengan adanya semangat kejiranan masyarakat dapat memupuk persefahaman sesama sendiri dan bersatu padu.


  Seterusnya, kita dapat menyaksikan betapa pentingnya semangat kejiranan untuk melahirkan semangat kekitaan. Perpaduan amat penting bagi sesebuah negara agar keadaan aman dan stabil. Sekiranya masyarakat mengenali jiran pelbagai kaum, maka mereka akan berinteraksi dan memupuk hubungan silaturahim yang erat dengan menyelami pantang larang, cara hidup, adat dan tradisi kaum lain. Rakyat akan saling membantu untuk menjayakan perayaan dan menghormati identiti kaum jiran. Dalam konteks ini, masyarakat tidak akan menimbulkan masalah perkauman atau isu sensitif yang menggugat hubungan dan keamanan negara serta mengakibatkan huru-hara. Masyarakat tentu tidak menginginkan negara lain memandang serong terhadap negara kita. Maka, dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa semangat kejiranan mempunyai kepentingannya dalam aspek ini.

  Sebagaimana yang kita maklumi, semangat kejiranan mampu melahirkan masyarakat yang harmoni. Sebagai analoginya, jikalau masyarakat tidak mengenali antara satu sama lain, dan berlakunya perselisihan faham antara mereka. Satu pihak tidak bertoleransi dan bertengkar dengan jiran sebelah. Hal ini adalah disebabkan oleh kurangnya bergaul sesama sendiri dan tiada persefahaman. Mereka akan saling berprasangka buruk dan bersifat individualistik sehingga menganggu keharmonian. Oleh itu, masyarakat harus mendekati jiran dan mengenali mereka dengan lebih mendalam. Mereka boleh mengambil inisiatif dengan menyertai Rukun Tetangga yang merupakan kumpulan yang terdiri daripada penduduk sesebuah kawasan petempatan. Mereka akan ditugaskan untuk meronda pada waktu malam untuk mengawasi rumah di samping mengurangkan kegiatan jenayah. Dengan ini, mereka akan menggabung tenaga dengan memainkan peranan dan seterusnya hidup secara harmoni.

  Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa semangat kejiranan dapat memudahkan kerajaan melaksanakan program pembangunan. Masyarakat yang hidup bersama secara aman dapat membenarkan kerajaan melakukan pembinaan tanpa tentangan daripada masyarakat. Mereka akan bertoleransi dan menerima tindakan kerajaan secara terbuka. Masyarakat akan bekerjasama dan menyokong usaha kerajaan. Sekiranya tiada kerjasama daripada rakyat, maka tidak hairanlah program yang dijalankan oleh kerajaan akan gagal. Keadaan ini akan menundakan proses pembangunan sebagai negara maju dan memberi impak buruk kepada kita. Adakah kita ingin melihat tanah air musnah di tangan kita sendiri? Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah mengamalkan semangat kejiranan untuk kebaikan semua.

  Walhasil, setiap anggota masyarakat hendaklah menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing dan janganlah sesekali bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sinergi daripada semua pihak perlu dipupuk umpama sakit sama mengaduh dan luka sama menyiuk bagi membentuk suatu anjakan aradigma yang mementingkan semangat kejiranan. Kita tidak seyogianya bersikap tutup sebelah mata, sebaliknya buka mata, buka minda, buka hati dan kenali diri. Semangat kejiranan wajib disemarakkan dalam kalangan masyarakat dan dimantapkan lagi. Guru-guru, ibu bapa dan pihak kerajaan juga memainkan peranan vital dalam menggiatkan lagi prakarsa dengan memberi didikan, menjadi suri teladan dan mengadakan kempen yang melibatkan masyarakat pelbagai usia dan kaum. Dengan ini, masyarakat dapat menyedari akan kepentingan semangat kejiranan dan bertindak secara bijak. 



TINGKAH LAKU TERPUJI TERHADAP JIRAN


  •  Bertolak ansur dengan jiran.
  •  Hormat menghormati antara satu sama lain.
  • Sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan menghormati mereka sebagai manusia.
  • Kemudahan yang perlu dikongsi bersama dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
  • Sentiasa bersedia memberi sebarang bentuk bantuan dan pertolongan yang diperlukan.
  • Bantulah mereka apabila ditimpa kesusahan dan malapetaka, agar hati mereka menjadi tenang dan tenteram.
  • Menziarah ketika mereka sedang sakit.
  • Tidak menghebahkan segala kesalahan keaiban dan kesilapan jiran.
  •  Berlemah-lembut dan anak-anaknya.
  • Sentiasa mendoakan dan kebahagian jiran. 

No comments:

Post a Comment